
Memetik inisiatif serupa oleh Australia dan New Zealand mengenakan larangan generasi terhadap penggunaan produk tembakau, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) berkata, negara maju itu mempunyai proses yang sudah lama wujud untuk mengatasi ketagihan sebegitu, termasuk program pengurangan kemudaratan tembakau (THR).
Presiden FPMPAM, Dr Steven Chow menegaskan Malaysia belum memulakan sebarang program “bermakna” berhubung pengurangan kemudaratan tembakau dan berkata, RUU itu turut mengabaikan data saintifik mengenai keberkesanannya.
Sambil menegaskan beliau bersetuju dengan matlamat RUU itu, Chow memberi amaran jika undang-undang itu diteruskan tanpa persediaan, ia akan menjadi “eksperimen sosial yang berbahaya”.
“(Tabiat) merokok, (menghisap) vape dan penggunaan produk tembakau memberi kesan besar kepada kesihatan dan menjadi ketagihan,” katanya.
“Seperti semua jenis ketagihan, ia boleh (ditangani) dengan campur tangan dan rawatan perubatan yang sewajarnya oleh ahli profesional terlatih khas, bukan dengan menjenayahkan penagih.
“Kami merayu kepada penggubal undang-undang untuk mempertimbangkan, pertama sekali, sama ada kita mengambil jalan pintas ke arah GEG tanpa memanfaatkan program yang mampan dan dipacu dasar berasaskan THR.
“Kami juga meminta mereka mempertimbangkan untuk menjadikan campur tangan perubatan sebagai fokus dasar berhenti merokok dan vape, bukannya penjenayahan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) harus meneruskan RUU itu kerana melindungi kesihatan rakyat ialah langkah tepat.
Menyangkal rasa tidak puas hati sektor tertentu terhadap RUU itu, Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, negara akan memperoleh keuntungan ekonomi dengan menyelamatkan orang ramai daripada menanggung beban penyakit berkaitan penggunaan tembakau dan vape.
“Ketagihan ialah penyakit yang amat sukar untuk dirawat dan kami percaya pencegahan ialah kaedah terbaik. Kita perlu mencegah ketagihan awal dengan tidak membenarkan anak-anak kita mengamalkan tabiat yang tidak sihat.
“Kepada semua Ahli Parlimen, jangan kecewakan majoriti. Kami percaya, selepas dua tahun menghadapi wabak, kebanyakan rakyat Malaysia akan bersetuju bahawa mencapai dan mengekalkan kesihatan yang baik adalah sangat penting.
“Kami ingin memberitahu orang ramai, jika anda ibu bapa dan mahukan yang terbaik untuk anak-anak anda, sokong GEG,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok, yang bertujuan melarang penjualan rokok, tembakau dan produk vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.
Pada Sabtu, Khairy berkata, tidak ada rekod jenayah atau hukuman penjara bagi mereka yang melanggar undang-undang GEG, dengan pesalah hanya dikenakan kompaun maksimum RM50.