Perniagaan rugi akibat GEG? Mengarut, kata persatuan pengguna

Perniagaan rugi akibat GEG? Mengarut, kata persatuan pengguna

Persatuan Pengguna Pulau Pinang menemplak dakwaan myNEWS perniagaannya terjejas teruk jika Rang Undang-Undang Generasi Penamat (GEG) ke atas produk tembakau diluluskan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata, rokok hanya menyumbang 30% daripada keseluruhan daripada perniagaan di MYNews dan boleh dipelbagaikan untuk menampung sebarang kekurangan.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menemplak dakwaan sebuah kumpulan peruncit yang mendakwa, kelulusan Rang Undang-Undang Generasi Penamat (GEG) untuk mengharamkan produk tembakau dan vape bagi mereka yang dilahirkan selepas 2007, boleh memudaratkan perniagaannya.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow menyifatkan alasan yang diberikan oleh myNEWS Retail Sdn Bhd (myNEWS) terhadap langkah kerajaan, yang bertujuan untuk mewujudkan negara yang lebih sihat, sebagai “lemah dan mengarut”.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu telah mendakwa, kelulusan Rang Undang-Undang GEG akan menjejaskan aktiviti perniagaan di 500 cawangannya di seluruh negara, serta merangsang pertumbuhan permintaan bagi rokok haram sebanyak 60%.

myNEWS juga berkata, Seksyen 17 Rang Undang-Undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 yang menghendaki peruncit meminta pembeli mengemukakan kad pengenalan mereka untuk membeli rokok bagi mengetahui umur mereka, bercanggah dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Kumpulan peruncit itu mendakwa, tidak ramai yang selesa berkongsi butiran peribadi mereka dengan orang yang tidak dikenali.

Subbarow menolak dakwaan bahawa undang-undang baharu yang dicadangkan itu akan memberi kesan teruk kepada pendapatan hasil myNEWS kerana cawangannya bukan sahaja menjual produk tembakau, sambil menambah bahawa ia hanya menyumbang 30% kepada hasil keseluruhannya.

“Pelaksanaan GEG mana mungkin menyebabkan mereka kerugian kerana pelanggan mereka masih ramai yang membeli banyak produk lain.

“Mereka harus bergerak untuk mempelbagaikan perniagaan mereka untuk menampung kerugian, jika ada. Saya tidak pasti dimanakah kerugiannya yang disebutkan itu,” katanya.

Menurut kajian Kementerian Kesihatan, terdapat kira-kira lima juta perokok di negara ini. dan ini perkara serius yang perlu ditangani dan mengatasi kepentingan perniagaan.

Subbarow juga berkata, peruncit tidak akan melanggar PDPA dengan meminta pelanggan mereka mengemukakan kad pengenalan mereka, kerana ia adalah cara yang sah untuk mengesahkan umur mereka, sama seperti cara seseorang ditanya semasa membeli alkohol, yang juga mempunyai had umur.

Beliau juga menyeru semua Ahli Parlimen memikirkan tentang keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan semua rakyat Malaysia dan memastikan rang undang-undang GEG diluluskan di Dewan Rakyat.

“Akta ini mesti diluluskan, pelaksanaan GEG mesti dikuatkuasakan demi Keluarga Malaysia.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan rang undang-undang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Beliau berkata, rang undang-undang itu selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bebas tembakau menjelang 2040.

Katanya, kerajaan akan menelan belanja RM8 bilion untuk merawat penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok seperti kanser paru-paru, masalah jantung dan penyakit paru-paru obstruktif kronik menjelang 2030.

Kabinet memberi lampu hijau untuk rang undang-undang itu pada 14 Jul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.