Apandi akan disoal siasat polis esok

Apandi akan disoal siasat polis esok

Ini berikutan tiga laporan polis yang dibuat terhadap bekas peguam negara itu kerana didakwa menyalahgunakan kuasanya dalam mengendalikan skandal 1MDB.

Polis berkata, Apandi akan memberi keterangan di Bukit Aman jam 2.30 petang esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis akan menyoal siasat bekas peguam negara Apandi Ali di Bukit Aman esok.

Dalam satu kenyataan ringkas, Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman akan merakam kenyataan Apandi pada jam 2.30 petang mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Walaupun alasan di sebalik soal siasat berkenaan tidak disebut dalam kenyataan itu, namun kenyataan itu dibuat tiga hari selepas D5 berkata bahawa unit itu telah memulakan siasatan terhadap Apandi selepas menerima tiga laporan terhadapnya.

Ahli Parlimen Klang Charles Salago adalah salah seorang pengadu, di mana beliau mendakwa dalam laporannya pada hari Rabu bahawa bekas peguam negara itu telah menyalahgunakan kuasanya ketika berkhidmat di bawah kerajaan pimpinan Najib Razak.

Beliau merujuk kepada kenyataan hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar bahawa delegasi Apandi tidak bertemu atau bercakap dengan penderma keluarga diraja Arab Saudi meskipun berkata sebaliknya pada sidang media pada 26 Jan 2016.

Azimah membuat penghakiman itu ketika menolak saman fitnah yang difailkan oleh Apandi terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Pada 29 Julai, MalaysiaNow melaporkan Apandi sebagai berkata bahawa beliau akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka susulan laporan yang dibuat terhadapnya.

Beliau menjadi tumpuan sekali lagi baru-baru ini selepas dilaporkan bertindak sebagai “orang tengah” dalam perbincangan antara kerajaan dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Pada 16 Julai, Apandi dilaporkan oleh The Malaysian Insight sebagai berkata bahawa beliau mengatur pertemuan antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan wakil Low pada akhir Mei.

Beliau juga berkata tujuan mesyuarat itu adalah untuk membincangkan penghantaran balik wang yang didakwa disedut oleh Low daripada 1MDB.

Pada hari yang sama, AGC mengesahkan bahawa Low membuat beberapa percubaan untuk menyelesaikan kes terhadap dirinya tetapi ditolak.

Apandi sejak itu diminta menjelaskan mengenai peranannya dalam mengatur pertemuan itu oleh beberapa pihak, terutamanya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.