
Katanya perbincangan itu dijangka antara lain akan menyentuh mengenai desakan Cuepacs yang meminta kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam.
“Saya akan berbincang dengan presiden Cuepacs pada hari Isnin ini untuk melihat, mengkaji dan meneliti permohonan yang dibuat oleh Cuepacs,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1444H/2022M Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman.
Pada majlis tersebut Mohd Zuki yang berasal dari Kampung Bukit Bayas, menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan tersebut.
Adnan baru-baru ini berkata pihaknya merayu kepada kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam iaitu pelaksanaan kenaikan gaji minimum penjawat awam RM1,800; menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT); dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama.
Katanya ia penting bagi meringankan beban penjawat awam terutama kumpulan pelaksana yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah semalam dilaporkan berkata pihaknya sudah melaksana beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal pada 2002, membabitkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.