PH kerjasama pembangkang, bentang RUU anti-lompat di Selangor

PH kerjasama pembangkang, bentang RUU anti-lompat di Selangor

PH akan berusaha memastikan RUU itu dibentang di sidang DUN Selangor selewatnya akhir November.

Ketua Whip PH Selangor Elizabeth Wong berkata beliau akan berusaha memastikan RUU itu dibentang di sidang DUN Selangor selewatnya akhir November. (Bernama pic)
SHAH ALAM:
Pakatan Harapan (PH) Selangor menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pembangkang negeri itu bagi melaksanakan rang undang-undang (RUU) anti-lompat.

Ketua Whip Pakatan Harapan (PH) Selangor, Elizabeth Wong, berkata beliau akan berusaha memastikan RUU itu yang bakal dibentang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor seawal-awalnya akhir November ini dan mendapat sokongan dua pertiga ADUN Selangor.

“Saya akan kerjasama dengan pejabat speaker DUN Selangor dan pejabat ketua pembangkang Selangor untuk pastikan dapat dua pertiga bagi luluskan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

“Kalau ketua pembangkang Umno sokong enakmen anti-lompat parti bersama ADUN bebas, kita akan harap hujung November ini ia dapat diluluskan,” katanya kepada FMT ketika ditemui di DUN Selangor.

Elizabeth yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata demikian ketika ditanya sama ada Selangor akan mengusulkan RUU anti-lompat di negeri itu seperti dilakukan di Dewan Rakyat.

ADUN Bukit Lanjan itu berkata, beliau yakin Selangor tiada masalah untuk melaksanakan RUU berkenaan dan jika ada kemahuan politik memang pindaan itu boleh dilaksanakan.

“Perkara ini akan dibincang di peringkat negeri. Mereka akan bentangkan dan kita ambil iktibar dari Parlimen. Saya juga akan adakan mesyuarat pada masa terdekat untuk bincang perkara ini,” katanya.

Semalam, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail menyatakan komitmen akan menyokong RUU berkenaan.

Katanya, RUU itu penting bagi memberi jaminan kepada pengundi dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

“Saya setuju kalau nak bawa RUU anti-lompat dalam masa terdekat. Tidak ada masalah. Penting untuk selaraskan undang-undang lompat parti ini dengan apa yang dibuat di Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Generasi Belia, Sukan dan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman pula berkata secara peribadi beliau berpandangan RUU itu boleh menyelesaikan kemelut lompat parti.

Beliau menyokong penuh jika RUU itu dibuat di Selangor kerana boleh selesaikan masalah lompat parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.