
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, beliau telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang untuk melihat dan membantu bagaimana ia dapat diselarikan dalam perkara tersebut.
Katanya, Pulau Pinang juga akan mengadakan sidang DUN khas untuk melaksanakan pindaan yang perlu kepada perlembagaan negeri supaya ia dapat dibentangkan dalam masa terdekat, iaitu pada September.
“Kita berharap dapat ambil tindakan ini supaya dapat kemas kini undang-undang negeri sedia ada dan selari dengan apa yang diluluskan di Parlimen semalam,” katanya kepada pemberita hari ini.
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan semalam.
Sementara itu, Chow berkata, beliau amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada detik bersejarah semalam menyaksikan 209 Ahli Parlimen yang hadir mengundi menyokong pindaan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.
Beliau juga berkata, permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk merujuk isu perlembagaan berhubung enakmen anti-lompat parti negeri itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 3 Ogos.