
Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook berkata, kejadian itu disedari ibu saudara mangsa yang lain sebelum bertindak menyelamatkan kanak-kanak itu.
Beliau berkata, mangsa dijaga oleh bapa, ibu saudara dan sepupunya dengan bayaran RM300 sebulan kerana ibu kandungnya bekerja di Johor.
“Kejadian ini dipercayai bermula pada 26 Mei lalu sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya yang lain sebelum ibu kandung membuat laporan polis pada 10.54 pagi, Rabu lalu.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek dipercayai telah menghilangkan diri sebaik mengetahui laporan polis telah dibuat terhadap mereka,” katanya menurut laporan Bernama.
Katanya lagi, mangsa bukan sahaja lebam dan melecur malah terdapat juga kecederaan lain pada keseluruhan badan mangsa.
Hoo berkata, kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Jempol.
Susulan itu, katanya, polis sedang mengesan tiga individu terbabit iaitu R Guna Silan, 42, K Nagamah, 41 dan G Nisha, 21, masing-masing beralamat di Taman Seri Mahsan, Jempol yang juga merupakan bapa dan ibu saudara serta sepupu mangsa.
“Polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan ketiga-tiga individu berkenaan bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.