Ibu 7 anak akhirnya dapat MyKad selepas 44 tahun

Ibu 7 anak akhirnya dapat MyKad selepas 44 tahun

R Alliamah, 64, tiada dokumen sejak dilahirkan kerana rumah keluarganya di Kedah terbakar sehingga memusnahkan semua dokumen penting.

R Alliamah, 64, menerima Mykad daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ruslin Jusoh dalam satu majlis di JPN Pulau Pinang, hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Setelah mengharungi pelbagai kesusahan sepanjang hidupnya kerana tiada dokumen pengenalan diri, seorang warga emas akhirnya menarik nafas lega apabila memiliki MyKad hari ini.

R Alliamah, 64, menerima sendiri Mykad daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ruslin Jusoh dalam satu majlis di JPN Pulau Pinang, hari ini.

Ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, beliau berasal dari Liberty Wood Estate Kulim, Kedah dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan kerana rumah keluarganya terbakar sehingga memusnahkan semua dokumen penting.

Menurut anak keempat daripada tujuh beradik itu, hanya beliau dalam keluarganya tidak memiliki kad pengenalan.

“Bukan tidak pernah cuba untuk dapatkan MyKad, kami telah berusaha untuk membuat kad pengenalan sejak berusia 20 tahun lagi.

“Namun akhirnya saya dapat memperoleh Mykad hari ini, iaitu ketika usia 64 tahun. Terima kasih kepada semua pihak terutama JPN yang membantu saya mendapatkannya, akhirnya saya rakyat Malaysia dan boleh daftar untuk mengundi pada pilihan raya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak lelaki Alliamah, Mohd Faizal Abdullah, 45, berkata, mendiang bapanya, S Sahar Segaran telah melakukan pelbagai cara bagi mendapatkan Mykad untuk ibunya yang bekerja sebagai tukang masak.

Beliau berkata, keluarganya sebelum ini telah mengumpulkan semua dokumen untuk urusan tersebut, namun dokumen itu musnah dalam kejadian banjir ketika mereka tinggal di Kedah.

“Kami tujuh beradik juga telah berjumpa pelbagai pihak termasuk wakil parti politik, NGO dan sebagainya, namun masih gagal peroleh Mykad untuk ibu kerana kami tidak jumpa saluran yang betul, malah pernah menjadi mangsa penipuan ejen yang mengaku boleh mendapatkan MyKad untuk ibu,” katanya.

Katanya, Disember tahun lalu, mereka berjumpa dengan JPN dan selepas lebih enam bulan, hasrat ibunya untuk memiliki MyKad akhirnya tercapai.

“Ibu telah melalui pelbagai kesukaran kerana dia tiada MyKad walaupun dilahirkan sebagai warganegara, dia juga hidup susah untuk membesarkan kami kerana tiada Mykad,” katanya yang menyifatkan peristiwa itu sebagai sesuatu yang sangat menggembirakan.

Sementara itu, Ruslin berkata, pihaknya telah menjalankan ujian DNA bagi membuktikan hubungan keluarga antara Alliamah dengan adik-beradiknya.

“Sijil Kelahiran (Daftar Lewat Kelahiran) bertaraf warganegara Malaysia telah dikeluarkan dan diserahkan kepadanya pada 24 Mac dan Alliamah telah membuat permohonan mendapatkan Mykad pada 31 Mac lalu, hari ini dia menerimanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.