
Beliau berkata, butiran berkaitan perkara itu tidak dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan sebelum RUU berkenaan diluluskan.
“Sekiranya ia sudah termaktub dalam perlembagaan parti dan tidak dianggap sebagai pemecatan dari parti, maka Ahli Parlimen tersebut akan kehilangan kerusi yang disandangnya.
“Oleh itu, perincian berhubung perkara itu harus diperjelaskan agar tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, Wan Junaidi hanya sempat menggulung perbahasan selama satu jam tanpa menjawab keseluruhan perkara-perkara yang dibangkitkan pembahas.
“Saya kecewa kerana ramai Ahli Parlimen yang mendesak supaya undian terus dibuat tanpa mendengar menteri (Wan Junaidi) menghabiskan hujahnya.
“Malah saya telah meminta supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun membenarkan menteri selesaikan hujahnya kerana katanya masih terdapat tujuh muka surat belum dibacakan. Mungkin disebabkan itu, saya lihat masih ada persoalan yang timbul selepas pindaan diluluskan,”katanya.
Beliau berkata, Wan Junaidi seharusnya diberikan lebih masa untuk menghabiskan sesi penggulungan RUU terbabit kerana ia sangat penting dan memerlukan kelulusan dua pertiga daripada 222 Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Mukhriz menegaskan pihaknya berpuas hati dengan pindaan yang menyatakan, ahli parti yang dipecat tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen.
“Perkara ini menepati kehendak kami (Pejuang) yang sebelum ini mahu aspek berkenaan dimasukkan dalam pindaan RUU,” katanya.