Mahkamah benar 1MDB serah writ saman USD3.78 bilion pada kakak, adik lelaki Jho Low

Mahkamah benar 1MDB serah writ saman USD3.78 bilion pada kakak, adik lelaki Jho Low

Mahkamah memberi kebenaran penyerahan writ saman di luar Malaysia terhadap May Lin di Singapura manakala adik lelakinya, Taek Szen di Hong Kong.

Peguam 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai, berkata pengurusan kes saman tersebut ditetapkan pada 23 Ogos depan secara e-Review. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
1MDB hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini bagi menyerahkan writ saman berjumlah USD3.7837 bilion kepada kakak dan adik lelaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini berada di luar negara.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili 1MDB, berkata May Lin berada di Singapura, manakala adik lelakinya, Taek Szen di Hong Kong berdasarkan alamat terakhir mereka yang diketahui.

“Oleh itu, mahkamah memberi kebenaran untuk membuat penyerahan writ saman di luar Malaysia,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz secara dalam talian.

Menurut Siva Kumar, pengurusan kes saman tersebut ditetapkan pada 23 Ogos di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Haslinda A Raof secara e-Review.

Pada 29 Dis 2021, Jho Low; bapa Larry Low Hock Peng dan ibunya Goh Gaik Ewe selaku defendan telah memasukkan kehadiran dalam kes saman itu, manakala writ saman berkenaan masih belum dapat diserahkan kepada seorang lagi defendan iaitu rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut USD661 juta daripada Jho Low dan masing-masing USD41 juta, USD397 juta, USD608 juta dan USD1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta USD325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut USD630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta USD2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut USD3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta USD1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain USD25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.