
Kejadian bermula apabila mangsa wanita berusia 64 tahun berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat menerusi media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata suspek memperkenalkan diri sebagai paramedik di sebuah hospital swasta menerusi laman sosial “Online Dating”.
Katanya, bermula dengan perkenalan itu, suspek memperdaya mangsa dengan mendakwa ada menerima kotak besar mengandungi peralatan perubatan USD22 juta (RM97.9 juta) dan memerlukan modal sebagai permulaan.
“Suspek turut berjanji ingin mengahwini mangsa. Tanpa berasa curiga, mangsa melakukan 120 transaksi ke 14 akaun bank diberikan suspek secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM5.29 juta.
“Mangsa menggunakan semua wang simpanan dan membuat pinjaman dengan pemberi pinjaman wang berlesen,” katanya menurut Sinar Harian.
Azmi berkata, mangsa mengesyaki dirinya tertipu lalu membuat laporan polis hari ini.
“Semakan awal mendapati, akaun bank yang terlibat juga mempunyai rekod untuk beberapa kes penipuan lain menggunakan modus operandi sama,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.