Anak JJ berjaya batal saman nenek berkait agihan RM2.29 juta

Anak JJ berjaya batal saman nenek berkait agihan RM2.29 juta

Mahkamah putuskan kes saman tidak boleh dikekalkan kerana fakta sama dikemukakan dalam kes berasingan sudah didengar dan diputuskan Mahkamah Tinggi.

Aminah Abdullah memfailkan saman berhubung pengagihan wang RM2.29 juta milik Jamaluddin Jarjis yang disimpan dalam akaun bank tempatan dan luar negara.
KUALA LUMPUR:
Dua anak Jamaluddin Jarjis hari ini berjaya membatalkan saman difailkan nenek mereka, berhubung pengagihan wang tunai RM2.29 juta milik arwah yang disimpan dalam akaun bank tempatan dan luar negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Nur Anis Jamaluddin, 37, dan Ikhwan Hafiz Jamaluddin, 35, selaku defendan untuk membatalkan saman Aminah Abdullah, 88, yang merupakan ibu Jamaludin pada prosiding kes saman itu yang berlangsung dalam talian hari ini.

Hayatul membenarkan permohonan dua beradik itu dengan alasan kes saman berkenaan tidak boleh dikekalkan berdasarkan prinsip undang-undang res judicata, kerana fakta sama yang dikemukakan dalam kes berasingan sudah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga memutuskan tuntutan saman itu adalah bersifat menindas terhadap kedua-dua defendan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Oleh itu, Hayatul memerintahkan Aminah selaku plaintif membayar kos RM15,000 kepada setiap defendan dalam masa 14 hari.

Perkara itu disahkan peguam K Shanmuga yang mewakili Nur Anis dan Ikhwan serta peguam Wan Zafran Pawancheek, yang mewakili Aminah.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 31 Mei tahun lalu, Aminah mendakwa kedua-dua cucunya itu selaku pentadbir bersama atau pentadbir terkini, mempunyai kawalan ke atas wang berjumlah RM21.3 juta dalam akaun Jamaludin di bank tempatan dan asing.

Aminah mendakwa, beliau berhak terhadap satu perenam daripada jumlah yang disimpan dalam akaun itu, iaitu RM2.29 juta berdasarkan kaedah faraid.

Pada 13 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Aminah untuk memasukkan tiga juta unit saham syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd dalam senarai harta pusaka peninggalan Jamaluddin.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Firuz Jaffril menolak permohonan Aminah untuk mengisytiharkan bahawa enam juta unit saham dalam syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan dua unit saham dalam syarikat Ivory Insight Sdn Bhd, adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Jamaluddin.

Pada 4 April 2015, Jamaluddin, yang juga bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur, terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya kapten Clifford William Fournier; ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias; ahli perniagaan Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran; serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.