
Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, langkah kerajaan untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bahan api bersasar adalah wajar, namun ia perlu seiring dengan sistem yang cekap agar tidak menambah kos pentadbiran negara.
“Sekiranya peniaga menjangka bahawa mekanisme subsidi petrol bersasar ini akan meningkatkan kos barang mereka, kemungkinan besar mereka akan menaikkan harga barang bagi mendepani harga bahan api yang lebih tinggi. Ini dikenali sebagai ‘aktualisasi diri’ yang secara langsung boleh menyebabkan ramai orang terkesan nanti,” katanya ketika dihubungi FMT.
Nambiar turut memberi beberapa cadangan berhubung mekanisme subsidi bahan api bersasar. Satu daripadanya adalah untuk kerajaan boleh menyerap kos subsidi, seterusnya menetapkan harga stesen minyak mengikut harga pasaran selepas harga bahan api kembali normal.

“Atau mansuhkan subsidi bahan api pukal secara berperingkat sambil memberi pampasan kepada golongan B40 dalam pembelian bahan api. Ini boleh dilakukan menerusi baucar petrol yang setara atau pindahan tunai bagi memastikan golongan ini memperoleh diskaun atas bahan api yang dibeli,” katanya.
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak turut bersetuju dengan langkah memperkenalkan subsidi bahan api bersasar kerana diyakini mampu membantu golongan yang lebih memerlukan secara efisien dan efektif.
Beliau berkata, subsidi petrol yang dilaksanakan sebelum ini tidak dapat menjamin kebajikan golongan berpendapatan rendah. Sebaliknya ia membantu mereka yang tiada masalah kewangan ataupun yang mampu memiliki kereta mewah, sehingga menyebabkan segelintir golongan B40 terkecuali dalam subsidi tersebut.
“Bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan alasan jangkaan inflasi, kerajaan perlu melakukan pertimbangan yang lebih menyeluruh berhubung masa dan mekanisme serta pengurusan jangkaan inflasi sebelum pelaksanaan subsidi tersebut,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan boleh memperkenalkan subsidi pengangkutan dengan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah secara menyeluruh.
April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, kerajaan berkemungkinan besar akan memperkenalkan mekanisme subsidi minyak bersasar bagi menampung impak kenaikan harga minyak mentah, terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah.
Katanya, kerajaan masih dalam peringkat merangka struktur bersesuaian yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.
Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak memberi amaran bahawa subsidi bahan api bersasar tidak seharusnya dilakukan ketika jangkaan inflasi tinggi masih wujud, kerana akan membawa kepada kadar inflasi yang lebih tinggi.