
Ia selepas beberapa bulan perbincangan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditugaskan merangka RUU itu dan selepas hampir setahun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MoU).
Pembentangan RUU berkenaan adalah antara terma utama terkandung dalam MoU itu.
“Kerajaan memandang serius tindakan lompat parti dan pembelotan parti kerana tindakan sedemikian telah mencetuskan banyak perdebatan dan kontroversi.
“Lompat parti dan pembelotan memberi kesan negatif terhadap mandat dan kepercayaan rakyat, yang mengundi wakil rakyat mereka,” kata Ismail di Dewan Rakyat.
Rang undang-undang itu mula-mula dijadualkan untuk dibentangkan pada Mac tetapi ditangguhkan. Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau menjangkakan undang-undang itu akan dilaksanakan pada akhir September jika ia diluluskan.
Ismail berkata Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, RUU itu mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga (2/3) atau 148 (jumlah minimum) dari jumlah Ahli Majlis Parlimen.
“Besarlah harapan saya agar rang undang-undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.
“Rang undang-undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
“Semoga rang undang-undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya.