PTPTN: Pelajar ijazah sarjana muda kelas pertama tak perlu bayar balik, kata PM

PTPTN: Pelajar ijazah sarjana muda kelas pertama tak perlu bayar balik, kata PM

Keistimewaan itu diberikan kepada pelajar bergraduasi bermula 2019 tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelajar yang memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama akan diberikan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
PETALING JAYA:
Pelajar yang memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama akan diberikan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang bergraduasi bermula 2019, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata, keistimewaan itu tidak mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat.

“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN, di Kuala Lumpur.

Sehingga kini, Ismail memaklumkan, seramai 3.67 juta peminjam mendapat bantuan pinjaman daripada perbadanan berkenaan dengan keseluruhan nilai pinjaman berjumlah RM66.87 bilion.

Katanya, sehingga akhir bulan lalu, lebih dua juta atau 82.04% peminjam sudah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion.

“Saya percaya ramai yang sudah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan secara langsung menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset atau pun modal insan penting kepada negara.

“Suka saya tekankan di sini bahawa membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar-pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui PTPTN menyediakan peruntukan lebih RM3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Bagaimanapun, Ismail mengakui timbul pula kebimbangan mengenai kebergantungan rakyat terhadap pinjaman yang menyebabkan graduan masa hadapan terikat dengan bayaran balik pinjaman pendidikan sebaik menamatkan pengajian.

Justeru, katanya, kerajaan mewujudkan inisiatif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sejak 2004, yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan keseluruhan deposit berjumlah RM12.5 bilion dan bilangan akaun mencecah 5.4 juta sehingga akhir bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.