
Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berpendapat, kedudukan Yong sebagai wakil rakyat masih sah memandangkan beliau dibenarkan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Beliau telah dibenarkan membawa kes ke Mahkamah Rayuan dan kami akan terus menyokong usaha beliau mendapatkan keadilan melalui lunas undang-undang negara.
“Dalam pada itu, Majlis Tertinggi parti akan memperhalusi kedudukan YB Paul Yong dalam mesyuarat bulanan Jumaat ini,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumah.
Hakim Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan melalui saksi-saksi dikemukakan.
Beliau berkata, mahkamah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan sebagaimana dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh, Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata kes yang mensabitkan Yong itu tidak akan memberi kesan kepada hala tuju parti dalam mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ini kerana, katanya, kes berkenaan adalah bersifat peribadi dan tidak boleh mewakili organisasi parti itu.
“Kes ini bersifat peribadi, bukan mewakili organisasi dan akan melalui proses rayuan. Oleh itu, ianya tidak memberi kesan secara langsung kepada perjuangan dan hala tuju parti dalam menghadapi PRU15,” katanya.