Mahkamah tetapkan pengurusan kes rayuan Isa Samad pada 8 Sept

Mahkamah tetapkan pengurusan kes rayuan Isa Samad pada 8 Sept

Bekas pengerusi Felda itu dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas sembilan pertuduhan rasuah bernilai RM3 juta berkait pembelian hotel di Sarawak.

Isa Samad memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Sept ini untuk pengurusan kes berhubung rayuan bekas pengerusi Felda, Isa Samad terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Tan Chai Wei ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz semasa dihubungi berkata, pengurusan kes selanjutnya itu ditetapkan kerana rekod rayuan belum siap.

Pada 3 Feb tahun lalu, Mahkamah Tinggi mensabitkan Isa, 72, atas sembilan pertuduhan rasuah bernilai RM3 juta.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga rayuan selesai.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.