Wisma Putra, Kementah jangan diam isu ceroboh Laut China Selatan, kata ADUN

Wisma Putra, Kementah jangan diam isu ceroboh Laut China Selatan, kata ADUN

Isu pencerobohan sempadan negara kerap kali dibangkitkan wakil rakyat Sabah dan Sarawak, bagaimanapun ia masih gagal ditangani sehingga kini, kata ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi.

ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, berkata Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu menggerakkan resolusi bagi mempertahankan kedaulatan negara.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat Sarawak meluahkan kebimbangan dengan sikap “berdiam diri” Wisma Putra berhubung tindakan China yang didakwa menceroboh ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang secara jelas mencabul kedaulatan negara.

ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, berkata isu pencerobohan sempadan negara kerap kali dibangkitkan wakil rakyat Sabah dan Sarawak, bagaimanapun ia masih gagal ditangani sehingga kini.

“Krisis ini sudah tidak boleh dipandang remeh mahupun sikap berdiam diri kononnya untuk “menjaga hati” segelintir pihak walaupun mencabul kepentingan dan kedaulatan negara. Saya rasa ini tidak betul, semakin hari semakin risau saya dengan pendekatan China di ruang udara dan perairan kita di Laut China Selatan. Apakah kita semua tidak nampak?

“Sejak 2021 lagi sudah ada laporan mendedahkan pesawat pejuang ‘halimunan’ China, J-20 berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin,” katanya dalam kenyataan.

Yakub berkata, tindak tanduk itu juga sebenarnya boleh menggugat sektor perkapalan serta aktiviti nelayan di perairan berkenaan dan untuk itu nota bantahan perlu dilakukan melalui saluran diplomatik dengan segera dan tidak boleh selamanya berdiam diri.

Katanya, Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu menggerakkan resolusi bagi mempertahankan kedaulatan negara termasuk melindungi keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta pantai timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 seolah-oleh memberi gambaran kerajaan tidak mempunyai pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis ini yang cukup membimbangkan.

“Apa yang berlaku antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara kita untuk situasi seumpama ini. Adakah ini tidak membimbangkan kita?,” soalnya.

Katanya, Malaysia tidak bersendirian dalam isu membabitkan Laut China Selatan kerana Filipina, Vietnam dan Brunei juga mempertikaikan perkara sama.

“Adalah jelas pendirian negara-negara Asean terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.

“Semua negara besar seperti China, Rusia, Amerika Syarikat perlu faham dan tidak sesekali ambil kesempatan dengan mengadakan latihan ketenteraan di Laut China yang begitu jelas boleh mengundang provokasi, ancaman keselamatan akhirnya dilihat seperti zon perang,” katanya.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) juga telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali yang dilaporkan bermula 2016 hingga 2019.

Jun tahun lalu tentera udara memaklumkan pihaknya bertindak memintas 16 pesawat tentera udara China yang dikesan di ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu.

Susulan itu Wisma Putra mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada China berhubung 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.