
Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata kertas siasatan berhubung kes itu dirujuk Timbalan Pendakwa Raya Selangor, hari ini, dan telah mendapat arahan untuk mendakwa kedua-dua individu berusia 28 dan 30 tahun.
Katanya, kedua-dua individu itu akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana secara bersama-sama melakukan penganiayaan ke atas seorang kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan.
Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Suami wanita itu yang juga warga Singapura juga akan dituduh bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal lebih masa di Malaysia dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, media melaporkan suami isteri ditahan reman selama tujuh hari selepas disyaki mendera mangsa di sebuah rumah di Beranang, Selangor.
Kanak-kanak itu yang merupakan anak seorang wanita Indonesia diserahkan kepada pasangan tersebut pada April, dikatakan dipukul menggunakan penyangkut pakaian, kayu penyapu dan dicucuh dengan pemetik api.