Cadangan laksana subsidi bersasar perlu kajian teliti, kata timbalan menteri

Cadangan laksana subsidi bersasar perlu kajian teliti, kata timbalan menteri

Mohd Shahar Abdullah berkata cadangan itu perlu diteliti sepenuhnya dan dilakukan libat urus terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata cadangan pelaksanaan subsidi bersasar perlu kepada kajian teliti dan libat urus bersama terlebih dulu.
KUALA LUMPUR:
Cadangan melaksanakan subsidi bersasar dengan segera belum boleh dilaksanakan berikutan memerlukan kajian teliti dan libat urus, kata Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah.

“Ini satu keputusan besar sebab itu Kementerian Kewangan (perlu) meneliti sepenuhnya dan buat libat urus,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) sama ada kerajaan akan memperkenalkan subsidi bersasar tahun ini atau tahun depan.

Mengulas lanjut, Shahar berkata dalam pembentangan Belanjawan 2023 akan datang juga akan diumumkan perkara yang akan memberi kemampanan fiskal negara.

Mohd Shahar Abdullah.

Salim sebelum itu berkata, isu kenaikan kos sara hidup yang semakin membimbangkan berikutan buat masa ini subsidi minyak masak dan RON95 boleh dibeli semua orang.

“Saya rasa RM200 bilion pun tak cukup. Setakat hari ini, lebih RM80 bilion telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk membantu Keluarga Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2022.

“Bagaimanapun, sejumlah besar subsidi yang dibelanjakan ini tidak dirasai oleh Keluarga Malaysia yang benar-benar memerlukan iaitu golongan B40 kerana T20 juga boleh memanfaatkannya,” katanya dalam soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Salim juga berkata, perbelanjaan tersebut bakal menjadi sia-sia sekiranya Kementerian Kewangan tidak mempunyai strategi efektif dengan memperkenalkan subsidi bersasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.