Saravanan nafi lindung penyelewengan PenjanaKerjaya

Saravanan nafi lindung penyelewengan PenjanaKerjaya

Menteri sumber manusia berkata pihaknya sendiri yang mengenal pasti dan membuat laporan kepada SPRM.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan meminta Ahli Parlimen pembangkang tidak memutar belit fakta mengenai penyelewengan PenjanaKerjaya di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Sumber Manusia M Saravanan menafikan cuba melindungi mana-mana pihak terbabit dalam penyelewengan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya).

Beliau berkata, pihaknya sendiri yang mengenal pasti dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga telah menggunakan siasatan forensik secara dalaman dan mengenal pasti daripada 45,000 syarikat terlibat program PenjanaKerjaya kerana bukan mudah mengenal pasti semua syarikat yang memohon program itu.

“Dalam 45,000 ada juga yang terlepas pandang satu atau dua (syarikat). Tetapi kita yang mengenal pasti. Kita yang mencari betul-betul sehingga kita dapat dan membuat keputusan untuk membuat laporan kepada SPRM,” katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Beliau juga meminta Ahli Parlimen pembangkang tidak memutar belit fakta mengenai penyelewengan itu di Dewan Rakyat.

“Kalau kita nak “sweep everything under the carpet”, mungkin saya dah arahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya jangan laporkan pada SPRM.

“Ini kita yang lapor. Tak perlu putar belitkan dewan yang mulia ini,” katanya.

Saravanan berkata demikian menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), sama ada KSM melakukan penyiasatan forensik terhadap skandal penyelewengan dana PenjanaKerjaya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata buat masa ini belum dibuktikan lagi ada ahli MIC terlibat penyelewengan berkenaan.

“Orang MIC mungkin ada tetapi kita belum tahu lagi. Tetapi (Ahli Parlimen) Bagan (Lim Guan Eng) pernah kena dakwa mahkamah. Satu dunia tahu.

“Tak perlu cakap macam malaikat. DAP (pun) kena hadap,” katanya menjawab pertanyaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang sama ada MIC terlibat penyelewengan itu.

Setakat ini, SPRM menahan 42 individu, termasuk dua tangkapan terbaharu berhubung kes penyelewengan PenjanaKerjaya.

Program PenjanaKerjaya adalah inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula 2020.

Ia dilaksanakan Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara dengan mewujudkan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.