Polis buru 3 individu disyaki samun gerai makan

Polis buru 3 individu disyaki samun gerai makan

Ketika kejadian kira-kira 6 petang itu, seorang wanita berusia 18 tahun sedang berseorangan membantu menguruskan gerai makan itu kerana ibunya sedang berehat.

Tangkap layar video tular menunjukkan kereta Perodua Axia dinaiki suspek dikejar orang awam. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Polis sedang giat mencari tiga individu dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah gerai makan di Jalan Arung, Tampoi Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid berkata ketika kejadian kira-kira 6 petang itu, seorang wanita berusia 18 tahun sedang berseorangan membantu menguruskan gerai makan itu kerana ibunya sedang berehat.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan datang ke gerai itu berpura-pura untuk membeli makanan, namun telah melarikan bekas wang milik mangsa.

“Lelaki terbabit kemudian melarikan diri bersama dua rakannya yang berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna hitam dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu. Ketika kejadian, terdapat orang awam cuba mengejar tetapi suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rupiah berkata akibat kejadian itu, mangsa kerugian wang tunai RM300 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-556 3122.

Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat memaparkan kejadian berkenaan di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.