
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad berkata harga RM56,000 yang ditetapkan untuk membina satu unit rumah PPRT tidak mencukupi susulan kenaikan kos bahan binaan ketika ini.
Sebaliknya, beliau berkata, sekurang-kurangnya RM67,000 diperlukan untuk membina rumah berkenaan.
“Kita tidak boleh (membina) dengan harga RM56,000 untuk sebuah PPRT, sekarang memerlukan lebih kurang RM67,000 untuk pelaksanaannya.
“Tidak ada kontraktor sanggup bina masa ini (dengan harga RM56,000). Kita KPLB sedang bincangkan buat garis panduan baru untuk dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Salim Sharif (BN-Jempol) yang bertanya sama ada kementerian bercadang menambah peruntukan untuk membina unit PPRT tahun depan.
Sebelum itu, Salim menyatakan kebimbangannya mengenai kos pembinaan rumah PPRT yang sudah sudah menjangkau hampir RM70,000.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian telah memperuntukkan RM360 juta untuk pembinaan PPRT di seluruh negara, iaitu RM178 juta untuk membina 2,503 buah rumah baharu dan RM182 juta bagi tujuan membaik pulih 11,353 rumah.
“Kebimbangan saya adalah mengenai keupayaan kontraktor kecil luar bandar untuk menyiapkan rumah pada harga tersebut. Kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap isu ini dengan mengambil kira kos bahan binaan semasa supaya rumah yang disiapkan akan kekal berkualiti dan selamat untuk diduduki,” katanya.