
M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat) berkata memandangkan hanya lebih 50,000 individu yang layak dikenal pasti untuk insentif pengambilan pekerja, sasaran ditetapkan ketika Bajet 2022 untuk membantu 300,000 individu menganggur yang mencari pekerjaan masih belum tercapai.
“Negara menghadapi masalah pengangguran yang rumit, jadi bagaimana hanya 1.23% daripada bajet yang diperuntukkan telah digunakan?” soalnya ketika membahaskan pindaan Akta Sekuriti Sosial Pekerja 1969 di Dewan Rakyat.
Kula yang juga Ahli PArlimen DAP mendakwa dana itu mungkin telah disalahgunakan dan menggesa Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan menjalankan siasatan forensik mengenainya.
Beliau mengulas statistik diberikan Menteri Sumber Manusia M Saravanan dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) Selasa lepas.
Saravanan berkata, setakat 1 Julai, kementerian telah menerima 50,594 permohonan daripada 7,650 majikan untuk insentif pengambilan pekerja. Beliau menyifatkan program itu mempunyai “impak positif”.
Bawah inisiatif JaminKerja, majikan yang mengambil warga Malaysia belum bekerja secara aktif layak mendapat insentif sebanyak 20% daripada gaji bulanan untuk enam bulan pertama, dan 30% untuk enam bulan seterusnya, tertakluk kepada pekerjaan dengan gaji RM1,500 dan ke atas.