Peserta ‘Turun Malaysia’ dihalang berarak ke Dataran Merdeka

Peserta ‘Turun Malaysia’ dihalang berarak ke Dataran Merdeka

Penunjuk perasaan melaungkan 'Hidup Rakyat' dan menuntut potongan gaji menteri sebagai tanda tidak puas hati dengan kenaikan harga barang.

Kira-kira 500 peserta ‘Turun Malaysia’ berkumpul berhampiran Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
KUALA LUMPUR:
kira-kira 500 peserta protes kenaikan harga barang “Turun Malaysia” disekat pihak berkuasa daripada berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.

Protes dianjurkan gabungan mahasiswa dan NGO di luar pekarangan Sogo, bermula 2 petang dan berakhir selepas 3 petang.

Hampir 50 anggota polis berada di lokasi demi memastikan himpunan berlangsung aman dengan peserta mendesak lima tuntutan mereka dipenuhi kerajaan.

Aktivis Sevan Doraisamy dan penunjuk perasaan lain cuba berunding dengan pihak berkuasa untuk meneruskan perarakan mereka tetapi tidak berjaya.

Penunjuk perasaan melaungkan “Hidup Rakyat” dan menuntut potongan gaji menteri sebagai tanda tidak puas hati dengan kenaikan harga barang.

Protes itu mengulangi semula lima tuntutan terhadap kerajaan iaitu pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri, bantuan diberikan kepada semua lapisan masyarakat dan mahu subsidi sedia ada dikekalkan serta tiada pengurangan dibuat.

Ia juga termasuk menuntut pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan dan makanan di universiti bagi mengurangkan beban pelajar.

Waki kesatuan pelajar UIAM, Aliff Naif Mohd Fizam, berkata langkah melakukan protes hari ini untuk menegakkan suara rakyat mendesak kerajaan mengambil tindakan.

“Kami tidak takut untuk keluar hari ini kerana kami mahu suara rakyat didengari,” katanya.

Sementara itu, wakil Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, Amirul Amin Mohd Basri, berkata kerajaan perlu lebih telus menyatakan pelan mereka dan membuktikan kepada rakyat.

“Macam contoh, tiada pelan sekuriti makanan yang jelas, sampai sekarang tiada pun, nampak menteri tak tahu pun masalah sebenar,” katanya.

Antara pemimpin yang hadir dalam perhimpunan itu Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, ADUN Ketari Young Syefura Othman dan Ketua Pemuda PKR Adam Adli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.