
Beliau berkata, komposisi itu jelas tidak adil dan menyedihkan, serta memberikan gambaran terdapat kepincangan dalam pengagihan jawatan tertinggi perkhidmatan awam.
“Saya amat terkilan apabila mendapat laporan bahawa peratusan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan daripada kaum-kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak cuma 11.17% sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius masalah ini dan segera mengambil langkah komprehensif.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad memberitahu Dewan Rakyat kira-kira 90% daripada 1.2 juta penjawat awam adalah Bumiputera dan pengambilan serta kenaikan pangkat penjawat awam berdasarkan merit.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung pecahan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam.
Kok menggesa Putrajaya berusaha menjadikan perkhidmatan awam lebih seimbang dari segi kaum bagi mencerminkan semangat “Keluarga Malaysia”.
Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak dakwaan Kok pada Khamis lalu bahawa perkhidmatan awam didominasi orang Melayu.
Presidennya, Adnan Mat dilaporkan berkata, dakwaan itu “tidak berasas” dan “tidak tepat” kerana kaum tidak pernah menjadi faktor dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam.
Noorita berkata, sebagai penjawat awam dan presiden Cuepacs, Adnan harus mengambil sikap berkecuali daripada mempolitikkan isu itu.
Katanya, penting untuk mempunyai komposisi kaum yang seimbang dalam perkhidmatan awam untuk mencerminkan kepelbagaian dan memastikan kestabilan serta kemakmuran negara.