Buktikan penjawat awam diambil secara merit, Putrajaya diberitahu

Buktikan penjawat awam diambil secara merit, Putrajaya diberitahu

Ramon Navaratnam berkata, kerajaan mesti memberikan pecahan jawatan yang dipegang anggota perkhidmatan awam.

Minggu lalu, seorang menteri berkata, kira-kira 90% daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada Bumiputera, yang diambil berdasarkan merit.
PETALING JAYA:
Seorang pesara kanan kerajaan yang tidak yakin dengan dakwaan seorang menteri berhubung penjawat awam diambil secara merit, menggesa kerajaan membuktikan dakwaan itu.

Ramon Navaratnam berkata, kerajaan perlu memberikan pecahan jawatan yang dipegang anggota perkhidmatan awam.

“Ini akan menunjukkan ramai bukan Melayu yang berkelayakan, tidak mendapat pekerjaan yang mereka mohon,” katanya kepada FMT.

Navaratnam yang juga bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan dan ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan berkata: “Kami memerlukan butiran kerana angka ini terlalu umum dan angka ini mesti didedahkan kepada umum.”

Katanya, orang bukan Melayu secara umumnya tidak menyertai perkhidmatan awam kerana mereka tidak akan dipilih untuk jawatan tinggi.

Beliau mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menolak dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dari DAP pada Khamis lalu bahawa perkhidmatan awam didominasi orang Melayu.

Kok berkata demikian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad mendedahkan kira-kira 90% daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada Bumiputera.

Latiff berkata, pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam berdasarkan merit.

Bekas Ahli Parlimen dari Umno, Tawfik Ismail berkata, tiada insentif untuk bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam, jika tiada prospek untuk kemajuan kerjaya.

“Sebab mengapa ia berpusatkan orang Melayu dalam perkhidmatan ialah politik naungan yang diamalkan kerajaan.”

Beliau turut mendakwa pengislaman di negara ini, yang menurutnya berlaku ketika Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri, telah “menakutkan” orang bukan Islam menyertai perkhidmatan awam.

“Lihat fakta dan perhatikan sentimen di lapangan.”

Sementara itu, bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Sheriff Kassim berkata, kerajaan perlu mengumumkan satu dasar yang menyediakan peluang sama rata di semua cabang perkhidmatan awam, tanpa mengira kaum dan agama.

“Ini akan menarik lebih ramai graduan dari universiti terkemuka dan bukan Melayu menyertai cabang pentadbiran, teknikal dan profesional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.