SKSSR beri perlindungan, nasib isteri lebih terjamin, kata NGO

SKSSR beri perlindungan, nasib isteri lebih terjamin, kata NGO

Cadangan pelaksanaan SKSSR dilihat dapat memberi perlindungan kepada isteri khususnya ketika berlaku kematian atau perceraian, menurut NGO.

Presiden Nation of Women (NOW) Haniza Mohamed Talha berkata, golongan suami sebelum ini dilihat tidak begitu bersungguh dalam aspek itu disebabkan ketiadaan satu undang-undang yang jelas.
PETALING JAYA:
Cadangan pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dalam Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat merupakan satu langkah tepat dan membuka mata suami agar mengambil serius dalam memberi perlindungan kepada isteri.

Presiden Nation of Women (NOW) Haniza Mohamed Talha berkata, golongan suami sebelum ini dilihat tidak begitu bersungguh dalam aspek itu disebabkan ketiadaan satu undang-undang yang jelas.

“Ia akan memastikan mereka mengambil serius untuk menyediakan perlindungan kepada isteri. Sebelum ini, tidak ramai yang mencarum untuk isteri secara sukarela. Dengan adanya skim ini, nasib isteri lebih terjamin sekiranya berlaku kematian atau perceraian,” katanya.

Draf RUU itu yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan Selasa lalu, bertujuan mengadakan peruntukan bagi keselamatan sosial kepada suri rumah berinsurans dalam bentuk faedah tertentu, meningkatkan kesihatan, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan suri rumah.

Satu skim akan diwujudkan bagi tujuan berkenaan yang dikenali sebagai SKSSR selain menyebut suri rumah yang mencarum dalam skim itu berhak mendapat faedah hilang upaya seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cadangan skim itu adalah secara sukarela dan suami tidak wajib mencarum untuk isteri.

Terdahulu, Saravanan menjelaskan, suami yang gagal membayar caruman itu kepada isteri, yang berdaftar dengan Perkeso boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata denda yang dikenakan mestilah bersesuaian dan menepati objektif pelaksanaannya.

Katanya, RUU itu dilihat tidak akan membebankan mana-mana pihak kerana manfaatnya cukup banyak.

“Caruman boleh dibayar oleh suami dan juga boleh dibayar oleh suri rumah itu sendiri. Kita berpendapat bahawa ia tidak akan membebankan sesiapa jika dibandingkan dengan faedah diterima melalui skim itu.

“Skim ini penting bagi memastikan jaringan jaminan keselamatan sosial rakyat Malaysia khususnya suri rumah, dapat dipertingkatkan. Selain itu, ia juga perlu dikaji setiap dua tahun bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektifnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.