
Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, ketika mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya merakamkan kenyataan ADUN Rantau itu, semalam.
“Polis merakam kenyataannya semalam dan akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya secepat mungkin,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, sayap bersekutu Bersatu membuat laporan polis terhadap Mohamad kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.
Ketua penerangannya, S Gobi Krishnan, berkata laporan terhadap bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dibuat kerana kegagalannya mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam atas kenyataan dibuat.
Dalam wawancara Mohamad dengan Asia Times, baru-baru ini, pemimpin Umno itu dikatakan merujuk kepada kavadi sebagai “beban” dalam menggambarkan kekalahan Umno pada pilihan raya umum ke-14.
Gobi berkata membawa kavadi adalah untuk menunaikan ikrar seseorang dan sebagai tanda terima kasih kepada Dewa Muruga semasa perayaan tahunan Thaipusam.
Beliau menuduh Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, sebagai tidak menghormati sensitiviti masyarakat Hindu.