Pengasas Crackhouse Comedy Club dituduh esok

Pengasas Crackhouse Comedy Club dituduh esok

Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 14 Julai lalu, Rizal van Geyzel ditahan tengah hari selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi sebelum direman keesokan hari. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pelawak Rizal van Geyzel yang dikaitkan dengan video dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama, akan dituduh di mahkamah pagi esok.

Pengasas bersama Crackhouse Comedy Club itu akan dituduh selepas video persembahan komedi yang didakwa cuba memperlekehkan dan berbaur perkauman tular di media sosial, baru-baru ini.

Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 14 Julai lalu, Rizal ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi sebelum direman keesokan hari.

Dia kemudian dibebaskan selepas direman sehari.

Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Sebelum itu, seorang wanita yang membuat persembahan di kelab itu pada Jun lalu, Siti Nuramira Abdullah didakwa menghina Islam.

Teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran, didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.