
Ramlah Hasan yang tinggal di Kampung Betong, Hulu Terengganu berkata, selagi masih dikurniakan kudrat dia sama sekali tidak akan memisahkan empat beradik iaitu Wan Rizqi Aidam Firdaus, 2, Wan Syaza Aliya, 8, Wan Syaza Qistina,12, dan Wan Asrul Afzan,15.
“Tok tak akan bagi orang ambil cucu tok, selagi nyawa ada tok akan jaga cucu-cucu tok, minta doa tok sihat dan panjang umur nak jaga mereka semua ini, ” katanya yang ketika ini sedang dirawat di hospital kerana kurang garam dalam darah.
Ramlah berkata dia kehilangan menantunya, Mazalina Mohd. Baru,37, pada dua tahun lalu akibat sakit jantung, manakala awal bulan ini anaknya pula, Wan Saifulnizam Wan Satar, 47, meninggalkan dunia kerana penyakit lelah.
Sementara itu Wan Asrul ketika dihubungi pula berkata, dia ketika ini masih terkesan dengan pemergian bapanya kerana selepas kematian ibu, arwah bapalah menjadi tempat dia mengadu dan bermanja.
“Rasa lagi kehilangan abah sebab memang rapat dengan abah,” katanya kepada FMT sambil memberitahu dia mahu belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.
“Arwah pesan tolong jaga anak dia”
Suzana, 33, jiran dan sahabat baik kepada arwah Mazalina ketika dihubungi berkata, meskipun tiada sebarang pertalian darah dia juga mengambil tanggungjawab membantu menjaga empat beradik tersebut.
Katanya, arwah Mazalina dahulu pernah berpesan kepadanya, jika terjadi sesuatu kepadanya dia mengharapkan Suzana untuk bantu menjaga anak-anaknya.
“Kami memang bersahabat baik dan rapat, dulu dia ( Mazalina) pernah pesan kalau jadi apa-apa dekat dia tolong tengok-tengokkan anak dia, jadi selagi empat beradik ada depan mata saya, saya akan terus bantu, tidak akan biar mereka lapar,” katanya.
Difahamkan, keluarga ini akan mendapat bantuan daripada Jabatan kebajikan Masyarakat dan Wan Asrul pula ditawarkan biasiswa untuk menyambung persekolahan di sekolah berasrama penuh.
Berat mata memandang, berat lagi bihu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.