Bayi 4 bulan tercampak akibat kemalangan makin pulih

Bayi 4 bulan tercampak akibat kemalangan makin pulih

Aqasha Alhaq yang tercampak keluar dari kereta selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan minggu lalu semakin menunjukkan perkembangan positif.

Kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan itu menjadi tular di media sosial setelah seorang wanita mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaikinya terbabas.
PETALING JAYA:
Bayi berusia empat bulan yang tercampak keluar dari kereta selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan sudah semakin stabil.

Ibunya Natasya Nadia Dahlan, 30, berkata, anaknya Aqasha Alhaq menunjukkan perkembangan positif dan kecederaan kedua-dua belah kakinya juga beransur sembuh.

Natasya berkata, anaknya akan menjalani pembedahan plastik di bahagian pinggul akibat lebam yang agak besar.

“Syukur kepala tiada retakan, cuma pendarahan dalaman dan sedang diberi ubatan.

“Anak dah semakin baik, esok ada pembedahan dia pun semakin stabil dan nampak aktif dah sekarang,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu media melaporkan, pemandu BMW 330E yang didakwa melarikan diri selepas mengakibatkan kemalangan membabitkan bayi empat bulan pada Isnin sudah tampil memberi keterangan pada 13 Julai lalu.

Aqasha Alhaq yang kelihatan semakin pulih masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (Gambar FB Natasya Nadia)

Ketua Polis Muallim Hasni Mohd Nasir sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila BMW tersebut secara tiba-tiba masuk di hadapan laluan Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan.

Keadaan itu menyebabkan pemandu Proton Inspira hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kenderaan BMW sebelum terbabas sehingga merempuh besi pembahagi jalan

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di KM385.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim 11 Julai lalu, sepasang suami isteri yang menaiki Proton Inspira cedera, sementara bayi mereka parah.

Kejadian itu juga tular di media sosial selepas mangsa kemalangan mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terbabas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.