Salam tak pandang muka, jemaah masjid tampar anggota tentera

Salam tak pandang muka, jemaah masjid tampar anggota tentera

Mangsa berusia 30-an bersalaman dengan suspek yang tidak dikenalinya selepas solat Asar, sebelum tiba-tiba ditampar dengan kuat di bahagian belakang kepala.

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang lelaki menampar belakang kepala seorang jemaah selepas selesai solat Asar di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut.
PETALING JAYA:
Seorang jemaah masjid bertindak menampar belakang kepala seorang anggota tentera laut hanya kerana tidak memandang muka ketika bersalaman dalam kejadian di sebuah masjid di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, kelmarin.

Ketua Polis Manjung Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian yang dibuat mangsa berusia 30-an.

Menurut mangsa, kejadian berlaku selepas selesai solat Asar di Masjid An-Nur pada kira-kira 5.10 petang.

“Selepas selesai solat, mangsa bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali sebelum suspek tiba-tiba menampar belakang kepala mangsa dengan kuat hingga terkena telinga kanannya.

“Susulan itu mangsa mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan telinga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah kerana mangsa didakwa tidak memandang muka suspek ketika bersalaman.

“Ini menyebabkan suspek yang juga pesara TLDM berusia 46 tahun berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar dengannya,” katanya.

Nor Omar berkata, kedua-dua pihak sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Mangsa dalam kes ini kemudiannya tidak mahu meneruskan siasatan dan sudah menarik semula laporan polis yang dibuat. Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Susulan itu, polis menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan video berkenaan kerana kes sudah selesai,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 37 saat yang memaparkan seorang lelaki menampar belakang kepala seorang jemaah selepas selesai solat tular di media sosial sejak semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.