
Khairi Muhamad Rodi berkata, tiga kertas siasatan dibuka terhadap Syed Saddiq pada 2020, termasuk kertas siasatannya mengikut Seksyen 27 Akta SPRM atas dakwaan membuat kenyataan palsu berhubung kehilangan RM250,000.
Katanya, beliau dan lima rakan setugasnya pergi ke rumah Syed Saddiq di Petaling Jaya, pada 31 Mac 2020, untuk mengumpul maklumat mengenai punca wang RM250,000 itu.
Khairi juga berkata, beliau merampas telefon milik saksi utama dan kemudiannya penolong setiausaha Bersatu, Rafiq Hakim Razali, sebagai sebahagian daripada siasatannya.
Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo, ketika menyoal balas Khairi, menegaskan bahawa tindakan pergi ke rumah Syed Saddiq itu merupakan penyalahgunaan kuasa SPRM.
“Tiada langsung kes terhadap beliau (Syed Saddiq). Anda dan yang lain pergi ke sana untuk ‘mencari’ kes terhadap beliau,” kata Gobind.
“Bagaimana anda boleh klasifikasikan kes itu sebagai kesalahan ‘memberi kenyataan palsu’ apabila siasatan baharu sahaja bermula (ketika itu)?”
Khairul, dalam responsnya, menafikan bahawa SPRM menyalahgunakan kuasa dengan berkata, siasatan itu dimulakan berdasarkan maklumat diterima. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dari mana sumber maklumat dimaksudkan.
“(Saya) tidak setuju,” katanya apabila ditanya Gobind sama ada SPRM menyalahgunakan kuasa.
Syed Saddiq, yang ketika itu ketua Pemuda Bersatu, dibicarakan atas empat tuduhan CBT dan pengubahan wang haram, dan didakwa menyeleweng RM1.12 juta milik parti itu.
Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan dana parti untuk pilihan raya umum 2018, manakala RM1 juta didakwa dikeluarkan olehnya tanpa persetujuan pucuk pimpinan.
Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM50,000 setiap satu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung esok.