
Dua persoalan itu ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Noorin Badaruddin berkata, Mahkamah Persekutuan adalah forum tepat dan sesuai untuk mendengar dan memutuskan persoalan undang-undang yang boleh memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.
“Adalah jelas bahawa siasatan SPRM ke atas seorang hakim yang berkhidmat telah dilihat oleh pemohon dan banyak pihak dalam kalangan masyarakat sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip pengasingan kuasa.
“Siasatan itu juga telah menimbulkan tanggapan bahawa badan kehakiman sedang diserang dan ini mempunyai kesan dari segi persepsi dan keyakinan awam terhadap badan itu.
“Mahkamah mengambil maklum fakta mengenai perbezaan pendapat dalam isu ini dan tidak boleh tidak bersetuju bahawa perkara ini sememangnya amat penting kerana ia memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan ini tanpa sebarang perintah berkaitan kos,” kata Noorin yang menetapkan 19 Okt ini sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya.
Persoalan undang-undang itu dinyatakan oleh Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dalam saman pemula mereka terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan SPRM terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.
Menerusi saman pemula difailkan pada 6 Mei lalu, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan, atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat, selain memohon deklarasi siasatan terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.
Ketiga-tiga plaintif menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman pemula, berkata media melaporkan bahawa SPRM telah memulakan siasatan terhadap Nazlan berkaitan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya dan siasatan ini kononnya dimulakan berikutan laporan dibuat kepada SPRM.
Mereka mendakwa siasatan SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.
Baru-baru ini, Nazlan, yang mendengar kes Najib Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.