Mahkamah tolak keputusan JPPM batal Kelab Sungai Petani berusia 100 tahun

Mahkamah tolak keputusan JPPM batal Kelab Sungai Petani berusia 100 tahun

Mahkamah memutuskan tindakan diambil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) terhadap kelab berusia 100 tahun itu tidak rasional.

Kelab Sungai Petani berusia 100 tahun itu terletak di kawasan seluas 20 hektar dengan memiliki padang golf seluas sembilan lubang.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Alor Setar membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) dua tahun lalu untuk membatalkan pendaftaran Kelab Sungai Petani, yang berusia 100 tahun.

“Keputusan untuk menutup kelab itu adalah tidak rasional,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Arik Sanusi Yeop Johari dalam keputusan lisannya disampaikan dalam prosiding dalam talian, petang ini.

Beliau juga mengarahkan JPPM membayar kos RM10,000 kepada presiden, Jagjit Singh, yang memfailkan tindakan itu bagi pihak kelab pada, 14 Feb 2020.

Jagjit menamakan ketua pengarah JPPM, pengarah JPPM Kedah, JPPM, setiausaha kerajaan negeri Kedah dan kerajaan negeri sebagai responden.

Peguam V Manokaran, V Nadarajan dan N Yohendra mewakili Jagjit dan kelab itu.

Peguam Kanan Persekutuan Aliza Jamaluddin mewakili JPPM, manakala Norhayati Ibrahim mewakili kerajaan negeri.

Kelab yang ditubuhkan pada 1922 di bawah naungan Sultan Kedah itu terletak di tapak seluas 20 hektar dengan memiliki padang golf sembilan lubang.

Susulan aduan beberapa ahli mengenai dakwaan penyelewengan dalam mengendalikan mesyuarat agung tahunan pada 2019, kelab itu menerima notis pembatalan pendaftarannya melalui surat daripada JPPM, bertarikh 22 Jan 2020.

Pada 2 Feb 2020, premis kelab itu telah ditutup oleh pihak berkuasa dan minggu berikutnya, setiausaha kerajaan negeri Kedah mengumumkan mereka mengambil alih tanah tersebut.

Jagjit mendapatkan perintah mahkamah, pada 2020, untuk ahli jawatankuasa memasuki premis dan menyelenggara premis dan kemudahan kelab sehingga perbicaraan semakan kehakiman selesai, hari ini.

Yohendra berkata, kelab yang mempunyai 2,000 ahli itu mengalami kerugian kerana tiada aktiviti menjana pendapatan seperti mengendalikan premis makanan dan minumannya.

“Jawatankuasa itu terpaksa membelanjakan RM1.6 juta sejak dua tahun lalu untuk mengekalkan kelab dan membayar gaji kakitangan,” katanya, sambil menambah ahli mempunyai sebab untuk meraikan ulang tahun ke-100, susulan keputusan mahkamah, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.