Isu MoU pengambilan pekerja, pembiayaan subsidi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu MoU pengambilan pekerja, pembiayaan subsidi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Berhubung MoU, Loke Siew Fook (PH-Seremban) mahu menteri sumber manusia menjelaskan faktor yang menyebabkan Indonesia membekukan penghantaran pekerjanya ke Malaysia.

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Isu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berhubung pengambilan pekerja republik itu serta kaedah kerajaan membiayai jumlah keseluruhan subsidi dijangka menjadi tumpuan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan berhubung isu MoU itu diajukan Loke Siew Fook (PH-Seremban) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, yang mahu menteri sumber manusia menjelaskan faktor yang menyebabkan Indonesia membekukan penghantaran pekerjanya ke Malaysia.

Turut tersenarai, soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) kepada menteri kewangan berkaitan kaedah kerajaan membiayai jumlah keseluruhan subsidi yang dijangka akan mencecah RM80 bilion bagi tahun ini dan bentuk pembaharuan dasar subsidi yang sedang dirancang.

Pada sesi soal jawab pula, Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta menteri pengangkutan menyatakan status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kereta api berkelajuan tinggi (HSR), Lebuhraya Pan Borneo, transit ali­ran massa (MRT), dan lebuh raya baharu bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan.

Selain itu, isu jenayah komersial akan dibangkitkan oleh Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan pendekatan kerajaan dalam membanteras jenayah membabitkan penipuan dalam talian.

Turut dijangka menjadi tumpuan ialah sesi pembentangan untuk bacaan kali pertama bagi Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022, diikuti RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2022 dan RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.

Selesai sesi tersebut, sidang akan diteruskan dengan menyambung perbahasan RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021.

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.