
Ketika mengumumkan kumpulan terbaharu itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia sebagai usaha melindungi diri daripada sebarang risiko yang teruk apabila dijangkiti Covid-19.
“Saya juga pada hari ini ingin mengumumkan bagi pemberian dos penggalak kedua yang telah kita syorkan kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan juga mereka yang berisiko tinggi iaitu 18 hingga 59 tahun,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) meminta Khairy menyatakan keadaan terkini ancaman varian baharu Covid-19 dan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapinya.
Dalam pada itu, Khairy berkata antara yang disyor mendapatkan dos penggalak adalah individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi dan tanpa komorbiditi serta mendapat saranan daripada pengamal perubatan.
Katanya, warga emas yang tinggal di fasiliti penjagaan jangka panjang, individu berumur 18 ke 59 tahun yang berisiko tinggi dan petugas barisan hadapan turut disyor menerima dos penggalak.
Untuk rekod, sehingga semalam, seramai 16,165,730 individu menerima dos penggalak pertama vaksin.
Khairy berkata, jumlah individu layak menerima dos penggalak pertama mengikut kriteria ditetapkan KKM adalah 23,008,641, iaitu jumlah dewasa yang sudah lengkap divaksin selama tiga bulan atau lebih.
“Jumlah yang belum lagi mengambil dos penggalak pertama seramai 6,842,911, atau 29.7% daripada yang layak,” katanya.
Beliau berkata, sehingga semalam seramai 225,848 individu telah mendapat dos penggalak kedua vaksin Covid-19.
Katanya, jumlah individu layak menerima suntikan penggalak kedua mengikut kriteria ditetapkan KKM adalah seramai 2,519,761, iaitu jumlah warga emas (60 tahun ke atas) yang sudah lengkap dos penggalak selama empat bulan atau lebih.
“Jumlah yang belum lagi mengambil suntikan ‘booster’ kedua seramai 2,293,913 atau 91.0% daripada yang layak,” katanya.
Sementara itu, Khairy juga berkata, kementerian kesihatan sedang meneliti penggunaan vaksin generasi baharu apabila ia diluluskan oleh pengawal selia.
“Sekiranya vaksin itu selamat, (kementerian kesihatan) boleh mempertimbangkan untuk mendapatkannya dalam masa terdekat,” katanya menjawab Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang bertanyakan kepadanya bagaimana program imunisasi kebangsaan akan mempersiapkan diri menghadapi varian baharu Covid-19.
“KKM sedang lihat pada penghasilan vaksin-vaksin generasi baru. Kalau vaksin jni selamat, perolehan boleh dipertimbangkan untuk masa akan datang.”