
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, ia akan mendatangkan risiko besar jika pihak asing mempengaruhi parti dan ahli politik tempatan.
“Kita tidak mahu orang luar mempengaruhi serta menentukan siapa yang sepatutnya memimpin parti atau negara, jika pihak itu menang dalam pilihan raya seperti yang berlaku di beberapa negara sebelum ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, isu rasuah berkaitan pendanaan politik boleh memberi persepsi negatif terhadap pentadbiran negara dan mempengaruhi skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.
Katanya, punca utama kerana tiada Akta Pendanaan Politik untuk mengatur sistem pembiayaan politik, di mana derma itu harus disalurkan kepada parti, bukannya individu.
Beliau berkata, draf Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik sudah disediakan kerajaan sejak 2020, tetapi belum dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, katanya, nilai derma juga perlu dihadkan, diaudit serta dilaporkan secara telus.
“Parti politik pemerintah dan juga pembangkang perlu bekerjasama untuk membentang RUU itu di Parlimen dan diluluskan secara bipartisan.”