Crackhouse Comedy Club dikhianat, polis buru 2 pelaku

Crackhouse Comedy Club dikhianat, polis buru 2 pelaku

Papan tanda dan pintu masuk disimbah dengan cat dalam kejadian dikatakan berlaku pada 4 pagi.

Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail menimbulkan kontroversi susulan pendakwaan terhadap seorang wanita dan penahanan pengasas bersamanya.
PETALING JAYA:
Polis memburu pelaku yang didakwa merosakkan Crackhouse Comedy Club dengan menyimbah cat di premis itu.

FMT difahamkan, kejadian di premis terletak di Taman Tun Dr Ismail itu, dipercayai berlaku pada 4 pagi, apabila sekurang-kurangnya dua pelaku menyimbah cat di papan tanda dan pintu masuk premis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, mengesahkan pihakya menerima laporan daripada orang awam pagi ini.

Kelab komedi itu menimbulkan kontroversi selepas seorang wanita, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang mendakwa menghafal 15 juzuk al-Quran, secara tiba-tiba membuka tudung dan baju kurungnya sekali gus mendedahkan pakaian di dalamnya yang tidak menutup aurat.

Kejadian itu didakwa berlaku bulan lalu.

Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat, atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan atas dasar agama.

Pengasas bersama kelab itu, Rizal van Geyzel, turut ditahan pada Khamis selepas beberapa video mengenainya tersebar di media sosial. Dia dibebaskan dengan jaminan polis keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.