Bilangan menteri pada tahap optimum, kata kerajaan

Bilangan menteri pada tahap optimum, kata kerajaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata, bilangan menteri memenuhi keperluan negara buat masa ini.

Timbul gesaan agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengecilkan saiz Jemaah Menteri atau mengurangkan elaun menteri susulan kenaikan kos sara hidup.
PETALING JAYA:
Putrajaya mempertahankan bilangan anggota Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan berkata, ia memenuhi keperluan negara buat masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata, bilangan menteri dalam pentadbiran adalah pada tahap optimum.

“Kerajaan berpandangan jumlah dan pelantikan anggota pentadbiran adalah yang terbaik berdasarkan keperluan, cabaran dan tanggungjawab serta kepakaran
yang diperlukan buat masa ini,” katanya.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau memberi jaminan bahawa anggota Jemaah Menteri yang dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi menjaga kebajikan rakyat Keluarga Malaysia.

“Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia Jabatan Perdana Menteri (Mampu) telah diberi tanggungjawab untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian,” tambahnya.

Latiff menjawab pertanyaan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) mengenai penambahbaikan terhadap barisan Jemaah Menteri.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, timbul gesaan agar Ismail mengecilkan saiz Jemaah Menteri atau mengurangkan elaun menteri.

Gesaan ini dibuat oleh Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH), antara lain, yang turut menggesa Putrajaya memansuhkan jawatan duta-duta khas luar negara seperti Duta Khas ke Timur Tengah, China, Asia Timur dan Asia Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.