Badan kehakiman lancar program Jelajah Kehakiman

Badan kehakiman lancar program Jelajah Kehakiman

Program julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan akses keadilan dan literasi undang-undang dalam kalangan rakyat.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat (tengah), pada pelancaran program Jelajah Kehakiman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Badan kehakiman Malaysia, hari ini, melancarkan program ‘Jelajah Kehakiman’ yang akan bermula Ogos depan bertujuan memperkenalkan inisiatif badan itu bagi meningkatkan akses kepada keadilan dan literasi undang-undang dalam kalangan orang awam.

Program itu yang julung kali diadakan, dilancarkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, di Istana Kehakiman.

Turut hadir Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Hasbi Hasan.

Jelajah Kehakiman itu akan berlangsung pada 4 dan 5 Ogos di Kota Bharu, Kelantan dan kemudian di Kuching, Sarawak, pada 24 dan 25 Sept dan akan diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang.

Menerusi program itu, badan kehakiman akan menyediakan kaunter e-Kehakiman, kaunter Pesuruhjaya Sumpah, kaunter e-Lelong, kaunter e-Court Finance dan kaunter program Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah.

Terdapat juga pembukaan kaunter pameran oleh agensi luar yang terlibat seperti perkhidmatan khidmat nasihat perundangan, carian kebankrapan, pemeriksaan kesihatan, semakan dan pembayaran saman trafik, penjualan produk serta perkhidmatan lain.

Menurut laporan Bernama, sejumlah sembilan agensi kerajaan dan swasta yang merupakan pemegang taruh badan kehakiman akan turut sertai program Jelajah Kehakiman itu.

Ia termasuk polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Penjara Malaysia, Badan Peguam Malaysia/Persatuan Peguam Negeri dan DAPAT Vista (M) Sdn Bhd yang mengendalikan sistem eJamin.

Program itu merupakan inisiatif badan kehakiman melalui Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan selaku urus setia program itu dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

Usaha sama secara bersepadu antara badan kehakiman dengan pemegang taruh yang terlibat dalam program berkenaan berteraskan kepada misi untuk meningkatkan akses kepada keadilan serta literasi undang-undang dalam kalangan orang awam mengenai sistem pentadbiran kehakiman dan perundangan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.