Kerajaan tangguh, tak teruskan projek belum bermula, kata menteri

Kerajaan tangguh, tak teruskan projek belum bermula, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata langkah itu sebagai menyahut arahan dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

Mustapa Mohamed berkata langkah menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula itu adalah bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.
KOTA BHARU:
Kerajaan mengambil langkah menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata langkah itu sebagai menyahut arahan dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk “Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam”.

“Saya sudah mengadakan mesyuarat dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) mengenai kedudukan kewangan untuk melihat projek-projek yang belum bermula.

“Jadi kalau ia belum bermula, tidak payah buat lagi, manakala kalau ada yang sudah bermula, kita akan bincang tentang perkembangan mana satu kita perlu, sama ada tangguh atau batalkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Pasaran Buruh dan Pembentangan Hasil Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja Peringkat Negeri Kelantan 2022 Sempena Karnival Kerjaya Aspirasi Negara Keluarga Malaysia di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, semalam.

Jumaat lalu media melaporkan berhubung kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia untuk melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.