
Beliau berkata, walaupun JPPM di bawah kementeriannya namun, beliau tidak mempunyai kuasa ke atasnya.
“Sebagai menteri, saya hanya menyelianya (JPPM),” katanya kepada pemberita.
Awal bulan ini, JPPM berkata, permohonan Umno untuk meminda perlembagaan partinya akan diputuskan selewat-lewatnya pada 16 Julai (semalam), namun ia masih belum diumumkan.
Jika pindaan itu diluluskan, Umno boleh menangguhkan pemilihan partinya sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum atau sehingga 18 bulan dari akhir penggal kepimpinannya, yang mana lebih awal.
Bagaimanapun, sudah dua bulan permohonan itu dibuat selepas mesyuarat agung tergemparnya meluluskan pindaan itu, tetapi JPPM belum memutuskan perkara itu lagi.
Hamzah berkata, sekiranya JPPM membuat keputusan untuk menolak permohonan itu, parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada beliau.
“Sebelum itu, saya tidak mempunyai sebarang kuasa.”
Ditanya mengenai notis JPPM meminta PKR hari menjelaskan keputusan pemilihannya baru-baru ini, Hamzah berkata, beliau tidak tahu mengenai notis itu.
“Ini kali pertama saya mendengar tentang perkara ini,” katanya.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu kongres PKR awal pagi ini bahawa, beliau telah menerima surat itu hari ini.
Beliau menambah, JPPM mengeluarkan surat itu selepas menerima “beberapa aduan” mengenai proses pemilihan parti.
PKR, yang telah menerima lebih 1,800 aduan penipuan dalam proses pengundian semasa pemilihan parti pada Mei, terpaksa menangguhkan kongres nasionalnya dari Jun hingga Julai untuk membenarkan audit forensik pemilihan dilakukan.