
Setiausaha Agungnya Zaharani Yusof Omar berkata, kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah tenaga kerja asing di sektor pembinaan kerana ia dikenal pasti antara punca utama menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan lebih 15% ketika ini.
Katanya, tapak pembinaan di seluruh negara mengalami pengurangan lebih 50% tenaga kerja sejak pandemik Covid-19 lalu, menyebabkan banyak projek tergendala sekali gus merencatkan proses pemulihan industri.
“Kita bukan hanya ada masalah tenaga kerja dari Indonesia tetapi dari semua negara sumber… kenapa kita tak mahu putihkan mereka yang ada dalam negara?
“Jika kerajaan buka pemutihan, negara masih lagi dapat bayaran levi, bayaran permit dan kegiatan ekonomi akan berjalan dengan baik,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas keputusan Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerja negara itu ke Malaysia sejak Selasa berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu One Channel System (OCS) menerusi memorandum persefahaman (MoU) mengenai penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya melayan Pati di negara ini sebagai penjenayah sebaliknya menyantuni mereka dengan memberi peluang pekerjaan selepas diputihkan.
“Bila kita buat pemutihan, bukan kita rugi sebaliknya kita tahu mereka ini di mana. Mereka (Pati) bukan penjenayah kerana ada antara mereka menjadi mangsa eksploitasi ‘orang tengah’.
“Kita kena bantu mereka, dan letakkan di sektor yang memerlukan tenaga kerja asing,” katanya.
PKBM sebelum ini menyatakan sektor pembinaan berdepan isu kekurangan kira-kira 500,000 tenaga buruh disebabkan ramai pekerja asing yang meninggalkan negara sebelum ini tidak kembali.
Malaysia sebelum ini melaksanakan program pemutihan atau pelan rekalibrasi Pati pada 16 Nov 2020 hingga 30 Jun 2021 dan mereka yang berjaya diputihkan ditempatkan di empat sektor – pembuatan, pembinaan, pertanian serta perladangan.