
Khairy berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama wakil daripada beberapa persatuan farmaseutikal, pemain industri dan pembekal semalam.
“Kami (Kementerian Kesihatan) akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan persekutuan kepada hospital dan klinik swasta untuk mengatasi kekurangan ubat jangka pendek,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, Pharmaniaga Bhd, yang bertanggungjawab ke atas simpanan itu, bersetuju dengan langkah berkenaan.
Khairy juga berkata, pengeluar ubat negara akan meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka, dengan stok dijangka stabil dalam tempoh dua bulan akan datang.
Beliau mengaitkan kekurangan itu disebabkan peningkatan kes selesema biasa dan penyakit seperti influenza selepas sekatan pandemik ditarik balik, dan pengurangan import ubat-ubatan dari China kerana perintah berkurung Covid-19.
Beliau berkata, kekurangan ubat-ubatan itu kebanyakannya melibatkan antibiotik, ubat pediatrik, ubat batuk dan ubat keracunan makanan, demam dan selesema biasa.
Bulan lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata permintaan “belum pernah berlaku sebelum ini” untuk ubat-ubatan biasa telah menyebabkan pengeluar dan pengedar farmaseutikal terjejas.
MMA turut menasihati orang ramai tidak melakukan pembelian panik.