
Setiausaha Polis Malaysia, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, keseluruhannya sebanyak 19 kes kematian berlaku dengan tiga daripadanya membabitkan warga asing dengan semua kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) yang ditubuhkan pada 1 Jan lalu.
“Sebanyak 19 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga hari ini iaitu membabitkan sembilan kes dalam lokap, lapan kes di hospital dan dua kes dalam perjalanan ke hospital.
“Daripada 19 kes, satu kes telah dituduh di mahkamah pada 21 Jan membabitkan empat suspek dengan kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala satu kes dirujuk kepada koroner,” katanya dalam kenyataan.
Noorsiah berkata, daripada semua kes dilaporkan, 14 membabitkan mangsa lelaki berbangsa Melayu, masing-masing satu kes membabitkan lelaki berbangsa Cina dan India serta tiga kes membabitkan warga asing iaitu dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Indonesia.
Sementara itu katanya, polis telah mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Siap) semalam bagi membincangkan perkembangan siasatan kes kematian dalam tahanan polis.
Katanya, lawatan bersama Suhakam dan Siap ke lokap berpusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam juga telah diadakan bagi memberi gambaran jelas cara pengoperasian lokap berpusat polis.
Beliau berkata, lawatan itu turut disertai wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Centre For Human Rights Research and Advocacy (Centhra).
“Kolaborasi polis bersama agensi lain merupakan sebahagian usaha ke arah menangani isu-isu kematian dalam tahanan atau jagaan polis dan pada masa sama, menunjukkan keterbukaan serta ketelusan PDRM dalam pengurusan tahanan,” katanya.