‘Saya tak takut’, Sulaiman cabar bentang undi tak percaya

‘Saya tak takut’, Sulaiman cabar bentang undi tak percaya

Ketua menteri Melaka itu mahu melihat sama ada berlaku atau tidak undi tidak percaya terhadapnya dalam persidangan DUN negeri bermula 25 Jul.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata beliau tidak gentar berdepan undi tidak percaya di DUN negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali mencabar mana-mana ADUN supaya mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hujung bulan ini.

Katanya, beliau mahu melihat sama ada usul itu akan dibentangkan, termasuk sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

“Spekulasi itu perkara biasa, saya tidak mahu komen (kerana) pada saya tidak ada apa yang berlaku pun.

“I want to see, is it happen or not (saya nak tengok, perkara itu berlaku atau tidak), kalau ada undilah apa ada hal, saya tak takut apa-apa,” katanya menurut Astro Awani.

Sulaiman yang juga ADUN Lendu turut mempersoalkan bagaimana spekulasi itu boleh timbul sedangkan pentadbirannya berada dalam keadaan aman.

“Saya tidak tahu dari mana perkara ini datang dan mungkin ada orang tak suka melihat kita berada dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya.

Sebelum ini, angin politik Melaka bertiup kencang kononnya Sulaiman bakal berdepan undi tidak percaya dalam persidangan DUN, yang bersidang mulai 25 Jul.

Terdahulu, Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, memberi jaminan tidak akan ada sebarang tindakan mengkhianati mandat rakyat seperti didakwa.

Beliau berkata, mandat yang diperoleh ketika pilihan raya negeri, pada November tahun lalu perlu dihormati.

Pada Mei, timbul spekulasi mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan.

Walaupun dinafikan pucuk pimpinan Umno negeri, namun pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah Rospandi Leman, berkata beliau tidak menafikan ada paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman berbuat demikian.

Rospandi bagaimanapun tidak mahu mendedahkan pihak dikatakan menjadi dalang dalam isu berkenaan.

“Yup, yes (ya). Awak pun tahu ler (dalang),” katanya menurut Berita Harian, pada 8 Mei.

Pada 15 Mei, memetik Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Umno Melaka Ali Mohamad, mengakui Sulaiman wajar menggantian Rauf, sebagai ketua Umno negeri.

Orang nombor dua Umno negeri itu berkata, Sulaiman paling layak dilantik menerajui Umno Melaka dan pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, sebagai mana kelaziman tradisi dalam Umno sendiri.

“Rakyat Melaka sudah tahu tentang seorang individu yang bercita-cita tinggi hendak menjadi ketua menteri selepas BN menang pilihan raya negeri Melaka, November tahun lalu.

“Semua orang tahu siapa individu yang mengingkari keputusan pucuk pimpinan parti memilih Sulaiman sebagai ketua menteri dan individu yang sama juga menimbulkan onar dengan segala ugutan serta paksaan terhadap Sulaiman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.