Saksi SPRM sakit, bicara pinda laporan audit 1MDB Najib tangguh

Saksi SPRM sakit, bicara pinda laporan audit 1MDB Najib tangguh

Gopal Sri Ram memaklumkan mahkamah bahawa saksi terakhir pendakwaan, pegawai penyiasat SPRM Haniff Lami mengalami pendarahan usus.

Najib Razak sedang dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dan menyebabkan pindaan kepada laporan muktamad audit 1MDB. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi ditangguhkan ke bulan depan kerana seorang saksi tidak dapat menghadiri pendengaran hari ini.

Pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Haniff Lami, saksi terakhir pendakwaan, mengalami pendarahan usus.

“Ini dimaklumkan kepada kami kira-kira 7 malam semalam. Saya cuba mengaturnya dan mengambil keterangan melalui Zoom, tetapi malangnya, kami tidak sempat memaklumkan mahkamah mengenai aturan itu,” katanya.

Tambahnya, pegawai penyiasat itu diberi cuti sakit selama dua hari.

“Haniff akan dapat hadir pada pendengaran akan datang (12 Ogos),” katanya.

Menunjukkan simpati kepada Haniff, hakim Zaini Mazlan berkata: “Saya harap beliau bersiap sedia (pada tarikh perbicaraan akan datang).”

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy juga dijangka meneruskan keterangannya pada 12 Ogos.

Arul Kanda, yang didakwa bersama bersubahat dengan Najib, dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.

Najib sedang dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan muktamad audit 1MDB sebelum ia dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Arul Kanda memaklumkan mahkamah pada pendengaran sebelum ini bahawa Najib memberitahunya pada 23 Feb 2016 dia bimbang laporan audit 1MDB akan “diputar belit” dari segi politik sehingga menjejaskannya.

Beliau juga berkata, Najib memintanya menghadiri mesyuarat pada 24 Feb 2016 untuk membincangkan pindaan kepada laporan itu.

Mahkamah mendengar bahawa bekas ketua juruaudit negara Ambrin Buang dan pegawai Jabatan Audit Negara menjalankan audit ke atas 1MDB bermula 9 Mac 2015.

Mereka sepatutnya membentangkan penemuan itu kepada PAC pada 24 Feb 2016, tetapi pertemuan dengan ahli PAC tidak berlangsung.

Sebaliknya, Ambrin dan beberapa pegawai diberitahu untuk menghadiri mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa pada hari yang sama.

Selepas mesyuarat, empat perkara dikeluarkan daripada laporan itu – dua penyata kewangan 2014, penerbitan nota jangka sederhana Islam, pelanggan sekunder bon Islam, dan kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) di mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.