Mampukah GPS ulangi dominasi ketika PRN pada PRU15?

Mampukah GPS ulangi dominasi ketika PRN pada PRU15?

GPS berjaya menyapu bersih 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sarawak Disember lepas, dan penganalisis berkongsi pendapat mengenai sama ada mereka mampu menandinginya pada PRU15.

Kini, GPS bersedia untuk menghadapi PRU pertamanya dan cabaran untuk mengekalkan momentum dan kemenangan yang dikecapi pada PRN Sarawak Disember lepas.
PETALING JAYA:
Dengan ura-ura bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mungkin diadakan tahun ini, tumpuan pemerhati akan berpusat kepada bagaimana perebutan kerusi Parlimen di Sarawak akan selesai.

Pada masa lalu, Sarawak dianggap sebagai “deposit selamat” Barisan Nasional (BN), namun keadaan dilihat berubah pada PRU14 selepas Pakatan Harapan (PH) merampas 10 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu dan seterusnya membentuk kerajaan persekutuan.

Jumlah tersebut adalah jumlah kerusi Parlimen Sarawak tertinggi yang pernah dimenangi blok pembangkang, mencetuskan tindakan parti-parti Sarawak yang memerintah meninggalkan BN.

Bekas parti-parti BN – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) – kemudiannya membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah.

Selepas PH kehilangan kuasa pada 2020, dapat dilihat dengan lebih jelas bahawa Sarawak akan mempunyai suara yang besar dalam menentukan siapa yang akan membentuk pentadbiran persekutuan. Perkara ini didukung oleh hakikat bahawa sokongan penting GPS membantu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

GPS kemudiannya menyokong pengganti Muhyiddin, Ismail Sabri Yaakob, untuk jawatan tertinggi itu, dan gabungan itu kekal sebagai pemegang taruh utama dalam kerajaan persekutuan.

Salah satu ujian terbesar GPS dihadapinya Disember lepas, pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12, pilihan raya besar pertama bagi gabungan itu.

GPS selesa menyapu bersih 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, mengatasi 73 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya 2016 ketika masih dalam BN dan dipimpin Adenan Satem.

Kini, GPS bersedia untuk menghadapi PRU pertamanya dan cabaran untuk mengekalkan momentum dan kemenangan yang dikecapi pada PRN Disember.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, “tidak syak lagi” GPS akan mendominasi Sarawak pada PRU15, walaupun mungkin tidak sebesar kemenangannya pada Disember.

“Segelintir pengundi bandar mungkin mempunyai kesedaran politik lebih tinggi berhubung kesan pilihan mereka di peti undi. Bagi mereka, isu utamanya adalah hala tuju negara secara keseluruhannya. Bagi pengundi luar bandar, isu harian (menjadi isu utama).

“Kawasan luar bandar, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, lebih menumpukan kepada kebimbangan sosioekonomi yang hanya mampu dilegakan sementara oleh GPS, dengan kelebihannya sebagai penyandang lama,” katanya kepada FMT.

PH mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya Disember, hanya memenangi dua kerusi yang ditandinginya, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Wong Soon Koh menggantikan DAP sebagai parti pembangkang utama selepas memenangi empat kerusi.

Banyak pembolehubah telah disebut oleh pemerhati dan ahli politik sebagai punca kemenangan padu GPS dan prestasi buruk pembangkang – daripada peratusan keluar mengundi yang rendah kepada prestasi PH yang mengecewakan ketika menjadi kerajaan, selain rasa tidak puas hati rakyat dengan politik.

Oh berkata, peratusan keluar mengundi rakyat Sarawak mungkin akan meningkat pada PRU15, terutamanya membabitkan pengundi bandar, kerana segelintir pengundi akan menganggap PRU sebagai lebih penting daripada PRN.

Bagaimanapun, katanya, masih belum dapat dilihat bagaimana kenaikan kos sara hidup baru-baru ini akan menjejaskan sentimen pengundi dan peratusan keluar mengundi.

Katanya, kemampuan blok pembangkang di Sarawak mencapai sebarang konsensus dan mengelak pertembungan antara satu sama lain akan menjadi pencapaian buat mereka.

PSB dan DAP Sarawak telah berunding sejak Mei untuk mengelak pertembungan pada PRU15, walaupun tidak banyak yang diketahui mengenai status rundingan tersebut.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, topik rundingan kerusi kekal menjadi batu penghalang terbesar bagi pembentukan barisan pembangkang yang bersatu di negeri itu, dengan PSB dan PH nampaknya masih belum mencapai sebarang bentuk konsensus.

Jika ini berterusan, katanya, GPS sudah pasti akan mendominasi kerusi Parlimen pada PRU15.

Awang Azman menjangkakan peratusan keluar mengundi sekali lagi rendah di Sarawak pada PRU15. Pengundi seolah-olah mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung peristiwa semasa, katanya.

“Menjelang PRU15, keutamaan bagi rakyat Sarawak adalah untuk mengekalkan kestabilan politik,” katanya.

Keadaan boleh berubah jika pembangkang menggunakan isu kenaikan harga untuk menyebabkan BN ditolak dengan meluas.

“Ini akan memberi kesan besar kepada GPS kerana ia dilihat masih mesra BN walaupun telah meninggalkan gabungan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.